Blogger Backgrounds

kitakan kawan....!!!

14 October 2010 3 Komen

Kita Kan Kawan!

Masa kecil-kecil dulu,kita ada ramai kawan di kampung. Kita gembira, setiap hari ada saja permainan baru yang boleh kita main sama-sama. Daripada main pondok-pondok sampailah main congkak. Kadang-kadang kita bergaduh sebab berebut alat nak main masak-masak. Ada waktu kita mengalah dengan kawan kita. Ada waktu kawan kita yang kena mengalah dengan kita.

Apabila kita melangkah masuk ke sekolah rendah. Kawan kita semakin bertambah. Kali ini bukan hanya dari kampung kita, tapi dari kempung-kampung sebelah. Ada juga kawan dari negeri luar yang baru berpindah masuk ke sekolah kita. Waktu ini lagi seronok, kalau boleh hari-hari nak ke sekolah sebab boleh bertemu rakan-rakan yang ramai. Bayangkan satu kelas, kita ada 40 orang kawan. Lagi lah kita seronok nak main sama-sama kan?
Belajar pun jadi bersemangat sebab semua nak berlawan dapatkan nombor satu dalam peperiksaan. Ketika sekolah rendah ini, kalau gaduh pun mungkin sebab berebut bola semasa bermain bola jaring. Mungkin bergaduh bila ada rakan menolak kita sehingga jatuh ketika bermain. Lepas tu kawan balik.

Namun di sekolah menengah, keadaan kita semua mungkin sedikit berbeza. Ada yang mahu belajar di sekolah agama. Dulu pernah juga terfikir, mesti seronok belajar di sekolah agama. Pasti setiap hari diri kita rasa ditarbiyah oleh suasana sekeliling.
Ada yang menyambung perjuangan belajar di sekolah yang pelajarnya sama jantina. Ada yang ke sekolah yang sekolahnya ada pelajar lelaki dan perempuan. Pasti berbeza sekali suasana kita di sekolah ketika itu. Pernah juga berkongsi cerita dengan rakan-rakan dari pelbagai jenis sekolah ini, memang berbeza kehidupan di sekolah masing-masing. Waktu ini kita pelbagai-bagai. Ada yang sudah matang pemikirannya dan ada juga yang masih kebudak-budakan. Waktu sekolah menengah, mungkin kita gaduh dengan kawan-kawan sebab kawan kita tu pengawas dan suka ambil nama kita bila kita buat kesalahan. Lepas tu kawan balik.

Kita dibawa pula ke alam remaja. Alam ini alam yang mencabar. Kalau tersilap kaki melangkah, maka boleh jatuh ke lembah kesuraman. Di alam remaja ini kita mula keluar dari tempat tinggal kita. Ada yang dari negeri Kelantan mungkin terpaksa ke negeri Sabah menyambung pengajian. Ada yang dari Negeri Sembilan mungkin terpaksa meninggalkan keluarga untuk menghabiskan sisa-sisa pengajian di negara orang. Ketika remaja ini, mungkin kita sudah pandai menghargai apa itu dinamakan persahabatan. Yang menyertai usrah, mungkin mereka rasa termotivasi dengan hadith ‘super saiya’. Yang dirinya sudah lama bertarbiyah, pasti mereka punya kasih sayang yang utuh kepada sahabat-sahabat mereka.

Namun ukhwah kita kita seringkalinya teruji ketika ini. Ketika ini kita yang harus menilai. Apakah kita harus membawa diri kita jauh dari sahabat, atau kita bertindak mencari hikmah yang ada disebalik ujian ukhwah ini. Semua orang pasti pernah merasa situasi ini, tidak terkecuali diri saya. Saya kagum melihat rakan-rakan yang tenang menghadapi situasi ini. Saya kagum melihat rakan-rakan yang menjadi semakin kuat dengan ujian ukhwah ini. Sebenarnya dulu, saya tidak pernah tahu tentang ujian ukhwah ini. Namun satu situasi membuatkan saya terus memerhati apa yang terjadi dalam kehidupan saya dan rakan-rakan saban hari. Situasi yang membuatkan mata saya terbuka dengan erti ‘ujian ukhwah’.

Ketika itu kami berada di Melaka, berjaulah bersama-sama rakan satu muzakarah. Kami terpaksa dibahagikan kepada dua kereta ketika itu. Ditakdirkan, dalam perjalanan ke destinasi yang ditujui, kereta kami terpisah dengan kereta yang satu lagi. Keadaan dalam kereta yang tenang ketika itu menjadi sedikit kelam kabut apabila rakan yang memandu sudah dapat mengagak yang kereta kami sesat. Telefon bimbit tidak henti berdering, tanda panggilan dari rakan-rakan dalam kereta yang satu lagi. 10 tiket sudah di beli untuk menaiki  ‘Melaka River Cruise’, tapi kami berlima masih tidak menemui jalan ke sana. Lantas kami berputus asa dan kami mencadangkan mereka berlima saja menaiki ‘Melaka River Cruise’. Kami menanti mereka di perhentian terakhir cruise.

“ Hurmm..sedihnya tak dapat naik cruise.” Saya mengeluh ketika itu.
“ Tak apa. Ukhwah kita sedang diuji sayang.” Kata rakan saya.
“ Diuji macam mana ? ” Saya masih keliru sebab ketika itu saya belum pernah mendengar perkataan ‘ukhwah yang diuji’.

“ Yela, sekarang ukhwah kita sedang diuji. Cuba bayangkan kalau kita tidak bertimbang rasa, kalau kita tidak bersabar, mungkin kita boleh bergaduh dengan kawan-kawan kita yang dah sampai sana. Mesti kita salahkan mereka apabila kita tak jumpa jalan ke sana. Jadi bersyukurlah, sekarang ni Allah memberi kita rasa sabar dan rasa bertimbang rasa dengan kawan-kawan kita.” Rakan saya menerangkan panjang lebar.

“ Betul juga tu. ” Dan saya sudah memahami erti ujian ukhwah itu. Senyum :)
Namun ketika sedang menunggu rakan-rakan sampai dengan cruise, tiba-tiba ada orang menyapa dari belakang. Kami terkejut melihat kelibat lima orang kawan yang kami nanti sebenarnya.
“ Eh korang tak naik cruise ke?” kami bertanya.
“ Tak naik lagi. Tanya orang yang jaga cruise tu, dia kata boleh juga naik dari sini. Jadi kami terus ke sini sebab nak naik sama-sama dengan awak semua. Ukhwah kita masih kuat!” Kata kawan saya sambil menghulurkan tiket.

Subhanallah! Tidak tergambar rasa indah berukhwah ketika itu.  Sangat manis kenangan itu. :)
Kenangan-kenangan itu telah berlalu. Usia kita pula semakin meningkat. Kematian juga  mendekat dari hari ke hari. Kenangan itu kita simpan biar ia indah sampai bila-bila.
Bagi yang belum merasai manisnya berukhwah, percayalah bahawa ukhwah yang paling manis adalah ukhwah yang dijalin atas jalan Allah s.w.t. Tak perlu saya jelaskan panjang lebar tentang manisnya ukhwah dalam jalan Allah ini. Anda kena rasai sendiri. Cuma ada sedikit pesanan untuk kita menjadikan persahabatan kita dan rakan-rakan bertambah manis.

Ketika ini kita pasti dalam ikatan persahabatan dengan rakan-rakan yang pelbagai latar belakangnya. Bagi yang sudah merasai manis ukhwah dalam jalan Allah ini, marilah sama-sama kita bawa rakan-rakan kita yang belum merasainya. Mari kita ajak rakan-rakan kita merasai manisnya ukhwah apabila boleh solat bersama, zikir bersama, mengaji bersama dan jalan-jalan bersama. Bagi yang punya rakan yang masih tidak melakukan kewajipan kepada Allah, jangan kita pinggirkan. Dekati dia, rapati dia. Mungkin ada sesuatu yang ingin dia luahkan pada kita. Kita mungkin gembira melihat rakan kita berubah menjadi baik, namun tidakkah lebih manis jika kita ada seiring dengannya dalam usaha dia berubah menjadi taat kepada Allah s.w.t.? Wallahualam
Kalau saya salah awak betulkan, kalau awak salah saya betulkan. Kita kan kawan! :)

Daripada Abu Hamzah, Anas bin Malik r.a, pembantu Rasulullah s.a.w, bahawa Nabi s.a.w bersabda, “ Tidak beriman salah seorang di antara kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.” [Hadith Riwayat Bukhari Muslim]

No comments:

Post a Comment